Saturday, February 5, 2011

DOSA IBLIS HANYALAH SOMBONG

Bismillah. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud, “Ðan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah (tunduklah beri penghormatan) kamu kepada Adam,” maka sujudlah (memberi hormat) mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”

Menurut Qatadah, ketaatan itu untuk Allah, sedangkan sujud ditujukan kepada Adam. Allah memuliakan Adam dengan memerintahkan para malaikat untuk sujud kepadanya.

Tidak tahan ujian

Para ulama mengesahkan bahawa pada awalnya iblis yang diciptakan daripada api yang termasuk golongan jin itu sangat taat beribadat, hinggakan tidak kurang daripada ketaatan para malaikat. Bukan itu saja, malah ia digelar Tawus al-Mala‘ikah (Burung Meraknya Para Malaikat). Rasa kehebatan diri membawa kepada permohonan agar ia dimasukkan ke dalam golongan malaikat. Sudah tentulah golongan malaikat ini patuh pada setiap perintah Tuhan yang ditujukan kepada para malaikat.

Untuk melihat kemampuan iblis untuk bersama malaikat, Allah meguji mereka dengan memerintahkan agar para malaikat sujud menghormati dan memuliakan Adam. Allah SWT menyebut mengenai sikap para malaikat apabila diperintahkan-Nya dengan firman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Akan tetapi, ternyata iblis tidak tahan dengan ujian tersebut. Ia enggan dan terserlah sifat takburnya, sehingga selayaknya Allah SWT murka kepadanya.

Adakah Iblis itu malaikat?

Persoalannya, terdapat sebahagian yang memahami perintah tersebut (untuk sujud kepada Adam) hanya ditujukan kepada para malaikat, tetapi mengapa iblis dikatakan derhaka? Bukankah iblis dan malaikat dua jenis makhluk yang berbeza?

Sebenarnya terjemahan yang sepatutnya kita faham ialah: “Renungkanlah ketika Kami berfirman kepada malaikat, “Sujudlah kepada Adam,” maka mereka pun sujud. Tetapi iblis enggan dan takbur, malah ia termasuk dalam golongan makhluk yang kafir.” Maksud ayat tersebut, iblis atas keengganannya itu bukanlah ia termasuk dalam makhluk yang taat sebagaimana malaikat yang ia inginkan dahulu, sebaliknya ia adalah makhluk yang kafir.

Ðalam Tafsir Ibn Kathir menyebut dalam mengambil pandangan Ibn Abbas r.a., beliau berkata : “Sebelum iblis melakukan perbuatan maksiat, ia termasuk dalam golongan malaikat yang paling bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat dan paling banyak memiliki ilmu. Hal itulah yang mendorongnya sehingga menyombongkan diri dan ia berasal dari negeri yang disebut Jin.”

Akibat sombong

Mengenai firman Allah SWT tadi yang bermaksud, “Maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur (sombong) dan ia termasuk golongan kafir.” Qatadah berkata bagi menjelaskan potongan ayat tersebut : “Musuh Allah, iblis berasa hasad (dengki) kepada Adam a.s. kerana kemuliaan yang diberikan kepada Adam. Alasannya : ‘Aku diciptakan daripada api dan ia (Adam) diciptakan daripada tanah.’”

Akibat kesombongannya itu, iblis dihalau keluar dari syurga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 13 yang bermaksud, “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.”

Maksud turunlah kamu wahai iblis dari syurga disebabkan kederhakaanmu terhadap perintah-Ku dan kerana kebangkanganmu daripada ketaatan kepada-Ku. Padahal kamu tidak berhak untuk angkuh di dalam syurga. Inilah dosa pertama kali yang terjadi dalam kalangan makhluk Allah. Itulah dosa kesombongan musuh Allah, iblis yang terang-terang menolak sujud kepada Adam a.s.

Imam Ibn Kathir menyebut lagi bagi menjelaskan ayat tersebut dengan berkata : “Saya katakan, dalam sebuah hadis sahih ditegaskan yang bermaksud : ‘Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan, meskipun hanya sebesar biji sawi.’”

Tegasnya, dalam hati iblis terdapat kesombongan, kekufuran dan keingkaran yang menyebabkan ia terusir malah jauh daripada rahmat Allah SWT. Wallahu‘alam.

Renungan dari entry ini : Ðosa Iblis hanyalah sombong. Kita pula bukan hanya sombong, malah riak, takbur, perasan bagus, ujub dan macam-macam lagi. Nah, agak-agak, siapakah yang lebih baik teruk?

Rujukan asal : Ðato’ Ismail Kamus Solusi Isu # 26

No comments:

Post a Comment