Pay Pal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Friday, September 16, 2011

WWII - Pertempuran Jitra

Pengenalan

Rencana ini bertujuan mengkaji strategi dan taktik dalam Perang Dunia Kedua dengan tumpuan khusus kepada pertempuran (battle of) Jitra pada 11 dan 12 Disember 1941. Selain itu, kertas ini juga cuba menguji kepentingan pertempuran Jitra kepada Sejarah Perang Dunia Kedua di negara kita. Ini disebabkan, Jitra adalah pertahanan hadapan yang utama bagi Tanah Melayu. Jitra yang sepatutnya dipertahankan dalam tempoh tiga bulan akhirnya tewas dalam tempoh tiga hari. Jatuhnya pertahanan Jitra menyebabkan Jepun mara dalam tempoh 60 hari ke Singapura. Kemaraan yang dirancang Jepun berjalan mengikut jadual kecuali menyeberang Sungai Perak yang sepatutnya pada 15 Disember hanya dapat dilakukan pada 26 Disember. Pendudukan Kuala Lumpur pula mendahului tarikh yang dirancang iaitu pada 11 Januari 1942, sedangkan dalam jadual ialah pada 14/15 Januari. Bagaimanapun, ketibaan di Johor tepat seperti yang dijadualkan iaitu 31 Januari. Singapura dikuasai Jepun pada 11 Februari 1942. Jika Jitra dapat dipertahankan sekurang-kurangnya selama dua bulan, tarikh kemaraan Jepun ke selatan akan berubah. Begitu juga tarikh kejatuhan Singapura. Mengapa dan bagaimanakah Jitra gagal dipertahankan oleh tentera British?

Kemaraan Tentera Jepun

Pada 4 Disember 1941, Lt. Jen. Yamashita, Panglima 25 Pemerintahan Medan Tentera Darat Jepun mengetuai bala tentera Jepun yang mempunyai kekuatan 25,000 pegawai dan anggota, berlepas dengan 18 kapal pengangkut dari Indo-China menuju Thailand. Pada 7 Disember 1941, armada kapal tentera laut Jepun itu berpecah untuk mendarat serentak di Singora, Patani dan Kota Bharu. Jam 1230, Pasukan dari 15 dan 18 Divisyen masing-masing telah mula mendarat di Singora dan Patani. Di Singora, pendaratan tentera Jepun dihalang oleh Polis Tentera Thailand. Setelah berunding, tentera Jepun mendarat dengan selamat di situ dan bersiap sedia menuju sempadan Tanah Melayu untuk bertembung dengan 88,000 trup termasuk 9 dan 11 Divisyen Tentera Darat India dan 8 Divisyen Tentera Australia.

Pada waktu tengahari 8 Disember 1941 di Singora (Songkla), tentera Jepun telah mendarat. Ketika itulah 6 dan 15 Briged bergerak ke Jitra mengambil kedudukan untuk bertahan. Periok api perlu ditanam, manakala kubu yang digali digenangi air dan sejumlah tumbuhan rayap perlu ditebas. Hujan yang turun tidak berhenti mulai tarikh itu sehingga 4 hari kemudian melengahkan persiapan tempur. Semasa pendaratan itu juga, satu detachment tentera Jepun telah digerakkan sebagai pertahanan hadapan bagi melindungi kerja pendaratan bala tentera Jepun itu.

British juga cuba melengahkan gerakan tentera Jepun dengan memasuki sempadan Thailand. Jepun bagaimanapun dapat memintas apabila detachment pendahuluan yang diketuai oleh Lt. Kol. Saeki Shizuo mendapat 'mesej' yang digugurkan oleh pesawat udara peninjau Jepun yang terbang rendah memaklumkan sejumlah pasukan 'mechanised' British bergerak ke utara melalui Changlun. Di antara pasukan yang dihantar ke arah Thailand ialah dua kompeni dari 1/8 Regimen Punjab yang sepatutnya menjadi batalion simpanan. British juga menghantar pasukan perlindungan udara yang mengebom pergerakan tentera Jepun yang sedang mendarat. Jepun membiarkan keadaan itu sehingga kelengkapannya selamat mendarat dan membuat serangan balas. Jepun menghantar ke hadapan sepasukan yang mengandungi 3 kereta kebal sederhana, satu unit kereta perisai, dua skuadron 'mechanised cavalry', senjata meriam dan tiga ratus orang askar.

Pada 9 Disember 1941, lebih 500 pesawat udara Jepun jenis pejuang dan pengebom yang diketuai oleh Lt. Jen. Sugawara dari 3 Grup Tentera Udara yang berpengkalan di Indochina berlepas ke arah Tanah Melayu. Pesawat pejuang dan pengebom Jepun itu menyerang pengkalan udara yang terdapat di Tanah Melayu, termasuklah menyerang pengkalan udara (aerodrome) Alor Star yang menyebabkan pengkalan udara itu terpaksa diperintah tutup dan anggotanya menyelamatkan diri oleh Pegawai Pemerintah Udaranya. Serangan udara Jepun ini yang menyebabkan bangunan terbakar dan letupan yang menggegarkan, telah memberikan tekanan psikologi kepada trup 11 Divisyen yang diberi tugas menyelamatkan pengkalan udara itu. Serangan udara itu membuktikan pesawat Buffalo milik tentera udara British dan Australia begitu daif jika dibandingkan pesawat Mitsubishi Zeros. Jepun menguasai ruang angkasa utara Malaya untuk melindungi kemaraan tentera darat ke selatan.

Sementara itu di utara sempadan Thailand, Lt. Kol. Saeki memandu sendiri kereta kebal, berserta 300 askar dan dengan bantuan Pasukan Peninjau meluncur ke selatan untuk bertembung dengan pasukan British dari Changlun itu. Pertempuran tentera British dan Jepun berlaku pada tengah malam 10 Disember. Pertempuran pertama ini adalah kekalahan pertama British. Paling penting dari pertempuran ini ialah Jepun dapat menawan sebuah peta terperinci tentang pertahanan British sekitar Changlun dan Jitra. Semasa serangan udara di Pangkalan Udara Kepala Batas dilancarkan, kereta kebal Saeki dan detachment sudahpun berada di sempadan. Mengikut Jen. Percival, trup perlindungan hadapan dalam keadaan taktikal yang amat daif berundur ke Changlun, manakala trup pelindung sebelah kiri di Perlis juga berundur ke Kodiang. Oleh itu, tentera Jepun dengan mudah masuk ke sempadan Tanah Melayu pada 10 Disember 1941.

Pertahanan Utara Tanah Melayu

Hanya mulai awal Disember 1941, persediaan dibuat untuk pertahanan utara Semenanjung. Tumpuan kekuatan dibuat di dua jalan utama menuju Thailand. Pertahanan British menghadapi dua masalah utama, pertamanya : musim hujan yang menyebabkan laluan kurang lancar bagi kenderaan berat kerana ketiadaan permukaan tanah yang keras, khususnya di kawasan tanah terbuka antara kawasan pertahanan dan kawasan pantai. Ini disebabkan keadaan muka bumi Jitra yang pada umumnya adalah tanah rata, tanah sawah yang bertaliair atau sungai korok yang perlu untuk sawah padi. Keadaan ini menyebabkan kubu (trenches) yang dikorek menjadi tidak praktikal kerana digenangi air, tanah yang rebak ditampan dengan buluh. Kubu parit yang dibina setinggi lebih enam kaki dan seluas hampir 5-7 kaki itu dianggap oleh Jepun sebagai 'a strong semi-permanent encampment'. Kubu inilah yang membentuk Jitra-line. Disebabkan kekurangan peruntukan kewangan dan tenaga manusia, halangan semula jadi telah digunakan sepenuhnya, diperkuatkan pula dengan kedudukan pertahanan 'pill box'. Pada ketika yang sama, semua unit sibuk dengan latihan dan persediaan Operasi Matador.

Panglima Pemerintah Kor. Jen. Heath telah diperintah bersedia menggerakkan trup Matador pada pagi 8 Disember tertakluk kepada keputusan tinjauan udara di Teluk Siam. Panglima Tentera Udara British bagi Timur Jauh, Marshal Udara Brooke-Popham memberitahu Percival pihak London membenarkan ia memasuki wilayah Thailand apabila Kota Bharu diserang. Tinjauan udara di Singora dan Patani memaklumkan pendaratan tentera Jepun secara besar-besaran. Hal ini telah diberitahu di Kota Bharu pada jam 0915. Percival tidak dapat maklumat ini sehingga jam 1100 apabila ia sampai di Markas Malaya Comand sekembalinya dari mesyuarat Majlis Perundangan Negeri Selat.

Maklumat pendaratan Jepun ini tidak disampaikan segera kepada Panglima Markas 3 Kor. Percival dalam catatannya menyatakan :


"What happened between 3 Corps and 11 Indian Div. I do not know, but I would point out once again that there were was only the one civil trunk telephone line, which we all had to use, and the service only had limited previleges on it. It was not to be expected, therefore, that call could go through very rapidly."

11 Divisyen yang telah bersedia untuk mara ke Thailand dan menawan pelabuhan Singora sejak 6 Disember telah diperintahkan memperlahankan kemaraan Jepun yang telahpun mendarat tanpa tentangan British. Perubahan dari gerakan ofensif kepada operasi defensif ini memberi kesan kepada persiapan 11 Divisyen ini.



"When Matador was cancelled, the troops had to erect barbed-wire barriers, lay anti-tank mines and fresh telephone cables. 15 Brigade (1st Leicester, 2/9 Jat. 1/14 Punjab) held 6,000-yard line from jungle-clad hills east of Jitra, through ricefields, now well under water, the main roads, and rubber plantations. From these to sea ten miles to the west the front-manily swamp - was covered by 6 Brigade (2 East Surrey, 2/16 Punjab, 1/8 Punjab). Three Gurkha battalions of 28 Brigade were to act as reserve."

Taburan Trup

Pertahanan kawasan sempadan ini diletakkan dalam tanggungjawab 11 Indian Divisyen yang diketuai oleh Panglimanya Mej. Jen. Murray Lyon. Kekuatan dua Briged di bawahnya ialah 6 dan 15 Briged yang masing-masing diketuai oleh Brig. Jen. Lay dan Brig. Jen. Garrett. Kawasan timur Jitra hingga sempadan Thailand diletakkan di bawah perintah Panglima 15 Briged. Di sebelah kiri jalan menuju Changlun diletakkan sebagai kawasan pertahanan Batalion Pertama Regimen Leicesters, manakala sebelah kanannya pula dipertahankan oleh 2/9 Jats. Pos utama luar kawasan di Asun diduduki oleh 1/14 Regimen Punjab, manakala 2/1 Regimen Gurkha dihantar ke Changlun sebagai peronda hadapan (forward patrols). Pasukan peronda hadapan di Changlun dan Pos Luar di Asun ini diperlukan oleh Panglima 11 Divisyen untuk melengahkan gerakan Jepun dalam usaha membuat persiapan yang cukup di kawasan pertahanan utama. Di selatan pekan Jitra, diletakkan 1 Kompeni masing-masing dari 1/8 Punjab dan 2/2 Gurkha, manakala 2 kompeni disediakan sebagai pertahanan kedua yang terdiri dari 2/15 Punjab.

Bagi kawasan dari Jitra ke Perlis hingga jalan keretapi, ia diletakkan di bawah tanggungjawab 6 Briged Tentera Darat India. Pasukan 2 East Surreys dijadikan batalion kanan Briged yang ditugaskan mempertahankan kawasan Kaim, Budi, Kapur dan Pisang. Kawasan tanggungjawab batalion ini bersambung dengan kawasan perintah 1 Leicester. Batalion kedua Regimen Punjab pula mengawal kawasan kiri jalan keretapi hingga ke pantai, manakala dua kompeni 1/8 Regimen Punjab ditempatkan di Imana (Kampung Imam), iaitu pos luar jalan Jitra-Perlis. Satu batalion dari 28 Briged Tentera Darat India ditugaskan untuk mempastikan saluran perhubungan terbuka dan untuk menghadapi kemungkinan pendaratan pasukan payung terjun musuh di pertahanan belakang. Manakala dua lagi batalion dari 28 Briged membentuk kekuatan simpanan Divisyen dan berpengkalan di Alor Star.

Bagi memperkukuhkan pertahanan Jitra, beberapa pasukan bantuan telah ditempatkan di kawasan Jitra iaitu terdiri dari :

2 x bateri dari Pasukan 155 Regimen Medan Meriam Diraja British sebagai pasukan meriam Divisyen.
Pasukan 22 Mountain Regiment [Regimen Meriam Laras Tinggi] (kurang satu bateri) dari Tentera Darat India.
80 Regimen Penangkis Kereta Kebal (kurang satu bateri) Pasukan Meriam Diraja.
137 Regimen Medan Meriam selaku pasukan meriam Divisyen.
3 Cavalry (ditempatkan di Pulau Pinang).
Semua pasukan bantuan dan juga Briged serta Divisyen yang mempertahankan kawasan utara ini diletakkan di bawah pemerintahan Panglima Pemerintahan Medan 3 Indian Corps, Lt. Jen. Sir Lewis Heath yang bermarkas di Kuala Lumpur.

Kekuatan Penyerang Hadapan Tentera Jepun

Jepun menghantar penyerang hadapannya satu pasukan bersepadu yang diketuai oleh Lt. Kol. Saeki. Dalam sejarah, pasukan ini dikenali dengan Detachment Saeki. Detachment yang mempunyai kekuatan 500 orang ini mengandungi :
1. Satu kompeni Unit Kereta Perisai Ringan (light Armoured)
2. Satu kompeni Unit Kereta Kebal Ringan (light tank)
3. Dua kompeni Kavalri berjentera (motorised cavalry)
4. Dua laras meriam aras tinggi
5. Satu platun jurutera
6. Satu seksyen Semboyan (signallers)
7. Satu seksyen unit Perubatan
Bagi melindungi pasukan meriamnya, pasukan dari 21 Regimen Infantri digerakkan di belakang trup barisan hadapan yang menyerang Changlun.

11 Disember 1941

Di sempadan Thailand dan Tanah Melayu, tentera Jepun ditentang oleh pasukan pelindung British yang terdiri dari 1/14 Regimen Punjab. Pertempuran berlaku di Changlun. Panglima 15 Briged diperintah memperlahankan kemaraan musuh di utara Jitra sekurang-kurangnya sehingga subuh 12 Disember. Bagi tujuan itu juga, 2/1 Gurkha (kurang satu kompeni) yang berada di Asun membantu Regimen Punjab. Pasukan 4 Meriam Laras Tinggi (Mountain Battery) yang dilengkapi dengan 2 meriam Breda untuk tugas penangkis kereta kebal.

Pertempuran di Changlun sejak jam 0800 berakhir apabila 1/14 Regimen Punjab tewas di tangan Jepun. Dua senjata Breda Penangkis Kereta Kebal juga ditawan Jepun. Selepas empat jam bertempur, Jepun dapat menyerbu rusuk kanan (right flank) jalanan askar Punjab itu. Askar Punjab lari bertempiaran menyelamatkan diri. Kol. Saeki semasa memeriksa kawasan pertahanan British yang ditinggalkan itu mendapati 10 senjata berat yang menghala ke arah tentera Jepun diatur di sepanjang jalan itu tanpa penunggunya. Beliau percaya sejumlah 200-300 trup tentera British berlindung dari hujan di bawah pokok getah di kiri kanan jalan Changlun itu.

Dari situ, kereta kebal Jepun terus mengetuai serangan terhadap kedudukan 2/1 Gurkha di Asun. Jepun menyerang askar Gurkha ini secara berdepan dan juga dari rusuk (flank) dan akhirnya dapat menyelamatkan jalanan pasukan penyerang mereka di Jitra. Dalam keadaan taktik serangan Jepun yang tidak diduga ini, jam 1830 askar Gurkha bertempiaran berundur melalui hutan dalam hujan lebat yang mengaburkan pandangan itu.

Pada jam 1500, Panglima 11 Divisyen memerintahkan Brig. Jen. Garrett menduduki satu kawasan dekat Nongka, kira-kira dua batu dari kedudukan pos luar Asun, dan diarah mempertahankannya selama satu malam. Bagaimanapun, pada jam 1900 Jepun dapat menembusi pertahanan British di Nongka itu dan terus menuju Jitra.

Malang di Jambatan Manggol

Tentera British di bawah 15 Briged telah berundur ke Jitra dan kehilangan anggota dan senjata. Menambahkan lagi kelemahan persenjataan British berlaku apabila trup 6 Briged yang berundur dari Perlis ke Jitra. Di Manggol pada ketika itu terdapat sebuah jambatan. Kawasan itu adalah dalam tanggungjawab 15 Briged dan diperintah oleh batalion 1 Regimen Leicester. Laluan Jitra-Perlis melalui Manggol adalah dikira sebagai laluan strategi pengunduran tentera British dan kemaraan Jepun. Kerja pemasangan alatan letupan telah dilakukan bagi memperlahankan kemaraan Jepun. Pada 11 Disember itu, trup perlindungan dan pos luar di bawah 6 Briged diperintahkan berundur ke Jitra. Bagaimanapun, kesilapan telah berlaku; kerana menyangka pasukan yang berundur itu tentera Jepun, pihak pertahanan British di situ telah meletupkan jambatan Manggol itu. Akibatnya sejumlah kenderaan pengangkut berserta dengan tujuh meriam penangkis kereta kebal dan juga empat meriam laras tinggi terpaksa ditinggalkan di tebing sebelah jambatan Manggol itu. Keadaan ini mendedahkan lagi pasukan tentera British ini kepada kemaraan tentera Jepun.

Dalam kelam-kabut berundur dari Nongka, Panglima 15 Briged, Jen. Garrett dilaporkan "hilang" kerana terputus hubungan. Panglima 28 Briged Jen. Carpendale ditugaskan mengambil alih pemerintahan 15 Briged. Batalion 2/2 Regimen Refal Gurkha dari 28 Briged juga diletakkan sebagai simpanan 15 Briged. Keadaan ini menyebabkan hanya satu batalion sahaja yang tinggal di 28 Briged untuk melindungi kawasan Alor Star - Sungai Petani.

Pertempuran Besar Bermula

Pada sebelah senjanya, tentera Jepun telah mengasak masuk sebelah timur jalan Jitra-Changlun. Setelah itu, kereta kebal mencari kedudukan di jalan raya itu dan mula melepaskan tembakan dengan bantuan tembakan peluru cahaya (light blanzing). Jepun bertempur dengan 2/9 Jats dan mula mengasak pertahanan kanan. Lebih kurang jam 2030, kereta kebal Jepun dengan bantuan suluhan lampu besarnya bergerak ke arah selatan jalan besar itu menuju pusat kedudukan pertahanan British. Tentera Jepun itu menumpaskan satu kumpulan peronda hadapan 1 Leicestershire sebelum dua kereta kebal; penggempur utamanya terkena tembakan dari Pasukan 215 bateri Penangkis Kereta Kebal. Pada masa itulah juga Jats dihujani peluru tentera Jepun.

Dalam pada itu, Markas 15 Briged dikatakan menerima laporan kurang tepat yang menghebohkan Jepun telah menduduki Bukit Jantan dan Bukit Alor. Laporan ini menyebabkan Brig Carpendale bimbangkan kepungan tentera Jepun terhadap pertahanan kanannya. Tanpa merujuk kepada Panglima Divisyen, Carpendale meminta bantuan Brig Lay, Panglima 6 Briged. Brig Lay menghantar dua kompeni dari 2/2 Refal Gurkha yang menjadi batalion simpanannya. Kompeni ini menduduki jalan raya arah timur dan satu kompeni 2/16 Punjab pula ditempatkan di Kelubi untuk memperkuatkan bahagian belakang pertahanan kanannya. Gerakan ini selesai sebelum matahari terbit. Malah satu kompeni 1/18 Punjab diperintahkan menduduki pertahanan yang ditinggalkan oleh Jats, tetapi perintah itu dibatalkan sebelum kompeni itu sampai di kedudukan tersebut.

12 Disember 1941

Jam 0300, tentera Jepun menyerbu melalui halangan tengah jalan raya dan menyusup masuk ke bahagian belakang kawasan sebelah kanan kompeni hadapan 1 Leicestershire. Bila serangan balas serta-merta gagal, tentera Jepun hanya dapat diundurkan bila serang-balas diatur hampir subuh dengan bantuan Bren carriers.

Lebih kurang jam 0600 dalam hujan lebat yang mencurah-curah, satu kompeni infantri Jepun yang dibantu oleh tembakan dari kereta kebal melancarkan serangan berdepan di bahagian timur simpang jalan yang membahagikan pasukan dari 1 Leicestershire dan 2/9 Jats. Serangan itu masuk ke dalam kawasan pertahanan kedua-dua batalion tersebut dan dapat menumpaskan pos pemerhati meriam bahagian hadapan. British cuba membuat serang balas tetapi gagal. Jepun bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang usaha mengeksploit kejayaan mereka. Melihat keadaan ini, Brig Carpendale sekali lagi meminta bantuan Brig Lay 6 Briged. Carpendale telah diberikan Markas Briged dan dua lagi kompeni 1/8 Punjab yang masih ada dalam perintahnya. Mereka telah diperintah melancarkan serang balas besar-besaran dengan bantuan tentera meriam untuk mendapatkan semula kawasan yang jatuh ke tangan Jepun. Pasukan yang bergerak menyerang balas itu melalui kawasan berhampiran Markas Jats yang menyangkakan tembakan itu dari pihak Jepun. Keadaan ini telah melengahkan usaha menyusun serang balas itu. Rancangan serang balas ini gagal apabila serangan jam 1000 itu mengorbankan banyak nyawa, malah Pegawai Memerintah serangan itu juga terbunuh.

Pada pagi 12 Disember, Jeneral Murray-Lyon meneliti laporan dari Briged hadapannya. Pada jam 0900, Jen. Murray meninjau Markas 15 Briged mendapati usaha mengepung kedudukan tentera Jepun sedang diatur. Bagaimanapun, beliau diberitahu kehilangan dua batalion dalam pertempuran sehari sebelum itu, lebih-lebih lagi dengan Brig Carpendale memerintahkan semua kekuatan simpanan digunakan pada malam itu, Divisyen sudah tidak mempunyai pasukan dalam simpanan lagi. Brig Carpendale melihat trupnya keletihan dan hilang semangat. Kegagahan tentera Jepun yang dibantu oleh kereta kebal diyakini mampu mara ke selatan. Dalam keadaan ini, Jen. Murray-Lyon meminta izin Panglima Malaya Command melalui Markas 3 Kor untuk berundur dari Jitra dan membuat pertahanan di Gurun.

Di pihak tentera Jepun pula, pada sebelah tengah hari, Panglima Briged ke 9 Infantri, Mejar Jeneral Kawamura meninjau kawasan hadapan dan memerintah Regimen 41 Infantri menggantikan pengawal hadapan dan melancarkan serangan pada sebelah malamnya di kawasan sebelah timur jalan raya itu. Sementara itu, Regimen 11 Infantri juga diperintah menyerang kawasan sebelah barat pada masa yang sama. Ini menyebabkan pertempuran itu amat hebat. Jepun mengocak kedudukan tengah 15 Briged dan menumpaskan kompeni hadapan kiri yang terdiri dari Jats dan memaksa kompeni itu berundur ke arah tenggara. Kemudian, mereka menyerang sebelah kanan Leicestershire dan menjelang jam 1430, tentera Jepun bertembung dengan 2/2 Gurkha di kawasan Sungai Bata. Satu serangan balas oleh platun bergerak dari 2 East Surrey yang dihantar oleh 6 Briged dapat menyelamatkan kawasan kanan Leicester dari dikepung Jepun. Menjelang jam 1500 suasana tembak-menembak dan letupan berhenti.

Berundur Ke Gurun

Di ketika inilah juga Brig Carpendale melihat pertahanan Jats dan Leicestershire dalam bahaya dan terdedah kepada serangan Jepun. Pada petang itu, Carpendale merancang mengundurkan Jats bagi memenuhi kekosongan kawasan antara Kelubi dengan satu kompeni Punjab di Sungai Bata. Leicester dirancangkan untuk menumpukan pertahanan barat dan utara sungai itu bagi membolehkan mereka menyerang balas dari bahagian timur keesokannya. Carpendale mencadangkan Brig Lay supaya Pasukan East Surreys membuat serang balas ke kawasan kiri (utara) Leicester. Rancangan Brig Carpendale ini dipersetujui oleh Jen. Murray-Lyon, kecuali Pasukan East Surreys ditetapkan sebagai pasukan simpanan Divisyen. Brig Lay diperintah mengundurkan dua kompeni East Surreys ke Kepala Batas untuk melindungi jambatan Sungai Kedah sebaik sahaja Leicester dan 2/2 Gurkha bergabung untuk mengundurkan semua batalion ke kawasan pengkalan udara.

Brig Carpendale membatalkan rancangannya itu bagi membolehkan Leicester menumpukan kepada tugas pertahanan pula. Pada jam 1515, Leicester diperintah berundur dari Rimba di sepanjang Sungai Jitra ke jalan raya dan bergerak arah selatan melalui Padang ke Sungai Bata. Jats juga selamat diundurkan kecuali kompeni pertahanan kanannya yang tidak dihubungi kerana dikatakan telah kecundang di tangan Jepun.

Pada jam 1800, Jen. Murray-Lyon tiba di selatan Tanjong Pauh dan mendapati keadaan kelam-kabut berlaku di jalan raya kerana kononnya ada laporan mengatakan kereta kebal Jepun telah menyeberangi Sungai Bata. Setibanya di Markas Divisyen pada jam 1830, satu laporan sudah menunggu mengatakan Pasukan Leicestershire telah diserang semasa berundur. Jats juga dikatakan telah ditewaskan, malah Jepun dikatakan juga menyerang 2/16 Punjab di Kelubi. Laporan tersebut kemudiannya dikatakan tidak benar.

Di ketika yang sama juga keadaan menjadi merbahaya dari segi komunikasi kerana 3/16 Regimen Punjab tidak mungkin dapat mempertahankan kemaraan musuh di kawasan Kroh dan Baling lebih dari tiga hari. Oleh itu, Jen. Murray-Lyon membuat perkiraan perlu diundur segera pertahanannya di Jitra yang telah keletihan dan tidak teratur lagi susunannya itu. Lebih-lebih lagi kemaraan cepat tentera Jepun yang dibantu oleh kereta kebal, kecualilah halangan dapat dibuat terhadap kereta kebal Jepun itu. Oleh itu, Jen. Murray-Lyon memutuskan untuk berundur pada malam itu juga ke seberang Sungai Kedah. Pada jam 1930, Panglima 11 Divisyen itu meminta kebenaran berundur lagi ke selatan dan membuat perlindungan di Gurun. Permintaan itu dikemukakan oleh Markas 3 Kor Tentera Darat kepada Markas Malaya Command.

Pada jam 2200 12 Disember, Jen. Murray-Lyon mengeluarkan perintah untuk 11 Divisyen berundur ke selatan Sungai Kedah di Alor Star. Mulai tengah malam tersebut, disenggagement dan pengunduran dari Jitra sejauh 15 batu bermula melalui jalan raya utama dalam keadaan cuaca yang amat buruk. Ianya adalah operasi berundur yang amat perit, bukan sahaja kerana askar yang tidak begitu terlatih dan terlalu muda, tetapi trup yang sudah hilang semangat dan keletihan. Operasi pengunduran mengalami masalah komunikasi kerana lokasi yang bertempiaran dan luas. Ada pasukan yang tidak menerima perintah berundur. Ini menyebabkan mereka masih berada di kedudukan pertahanan sehingga esok paginya. Keadaan ini menyebabkan pasukan yang tertinggal di belakang ini bergerak dalam kumpulan kecil dan kehilangan peralatan dan kelengkapan mereka. Di kawasan pertahanan di sebelah barat Jitra, ada yang berundur meredah sawah dan paya, ada yang menyusur jalan keretapi ke Alor Star dan tidak kurang juga yang berundur menyusur pantai dengan harapan untuk mendapatkan sampan bagi membolehkan mereka bertemu Markas Divisyen di selatan. Ada sekumpulan kecil akhirnya sampai ke pantai Sumatera Utara, ada yang mengalami perahu pecah dan karam. Pengunduran tentera British itu amat derita dan huru-hara tetapi lebih azab lagi jika Jepun terus mara pada malam itu.

13 Disember 1941 - Kejatuhan Jitra

Mulai tengah malam 12 Disember itu, tentera Jepun membuat serbuan terhadap jambatan Sungai Bata tetapi dapat diusir semula oleh 2/2 Regimen Refal Gurkha. Askar Gurkha ini kemudiannya meletupkan jambatan tiu pada jam 0200 pada 13 Disember sebelum berundur melalui pertahanan belakang yang terdiri daripada pasukan 2/9 Gurkha. Pasukan pertahanan belakang ini selepas bertembung selama beberapa jam, akhirnya pada jam 0430 mereka berundur. Pasukan 2/6 Regimen Refal Gurkha adalah unit terakhir meninggalkan Jitra. Selepas itu, pertempuran dengan Jepun terhenti sebentar. Menjelang matahari terbit, tentera Jepun masuk ke Pekan Jitra yang telah lengang ditinggalkan oleh tentera British. British tinggalkan juga 50 pucuk senjata medan (field guns); 50 mesin gan berat; 300 trak dan kereta perisai. Jepun juga menemui peluru dan makanan untuk divisyen yang cukup untuk digunakan selama tiga bulan. Seramai 3000 orang askar India menyerah diri kepada Detachment Saeki selepas menguasai hutan sekitar Jitra.

Taktik Serangan Jepun

Taktik penyeberangan jambatan oleh tentera Jepun adalah satu taktik yang unik dalam pertempuran Jitra ini. Taktik ini telah membantu kelajuan pergerakan tentera dan dapat membuat kejutan terhadap pertahanan British itu.

Dalam kes pertempuran di jambatan Sungai Jitra , kita lihat kedudukan pertahanan British serta taktik kemaraan Jepun. Pasukan infantri Jepun berada di tebing kanan untuk membuat perlindungan operasi kerja membaiki jambatan yang diletupkan oleh pihak British. Tumpuan utama tembakan meriam Jepun ialah untuk meneutralkan pasukan meriam British bagi membantu gerakan pasukan Jurutera dan infantri. Setelah itu kereta kebal, satu seksyen tentera meriam dan infantri melaksanakan serangan mengejut (a sudden attack), didahului oleh pasukan infantri yang mara hingga ke kedudukan musuh. Kesempatan diambil semasa menjelang senja dan hujan lebat. Selepas infantri membuat serangan, pasukan lain segera mara, dengan berlindungkan keadaan yang kian gelap atau hujan lebat memecahkan pasukan musuh dan menguasai jambatan Sungai Bata sebelum jambatan itu sempat diletupkan oleh pihak British.

Jitra yang dipersiapkan untuk pertahanan selama tiga bulan oleh satu divisyen tentera akhirnya dikuasai Jepun dalam tempoh tiga hari sedangkan kekuatan askar Jepun tidak sampai pun dua batalion. Pasukan induk (main body) tentera Jepun tidak digunakan langsung dalam gerakan menguasai Jitra ini.

Pengajaran Dari Pertempuran Jitra

Dalam menganalisis tajuk ini, dua keadaan dapat dibandingkan iaitu; kejayaan tentera Jepun dan keduanya kekalahan tentera British. Dengan membandingkan strategi dan taktik serta keseimbangan kedua-dua pasukan itu, dapat merumuskan sebab kemenangan dan kekalahan dalam pertempuran di Jitra itu.

Terdapat enam faktor yang membantu Jepun mengalahkan British iaitu;

Perancangan yang rapi
Kepemimpinan yang baik
Aplikasi prinsip peperangan
Perisikan yang baik
Desentralisasi perintah
Penggunaan kereta kebal

Manakala kegagalan British mempertahankan Jitra disebabkan oleh beberapa faktor utama seperti :

Pembatalan operasi matador
Kesilapan mengatur pasukan (faulty deployment)
Keserabutan aplikasi prinsip pertahanan
Kedaifan kemudahan perhubungan
Pengaturan pasukan seimbang
Koordinasi
Pasukan simpanan
Memperkecilkan kekuatan musuh
Semangat (morale) trup
Taktik anti-infiltrasi
Penyertaan penduduk tempatan

Kejayaan Jepun

Perancangan Yang Kemas : Jepun telah menjalankan kajian tentang hutan tropikal untuk membolehkan pihaknya memaksimumkan peluang atau advantage dan juga meminimumkan kehilangan trup. Jepun juga membuktikan betapa hutan yang dikatakan 'impenetrable' sebagai falasi. Jepun merancang dan melatih anggotanya taktik susupan atau inflitrasi dan taktik ini berjaya mengharu-birukan trup British.

Kepemimpinan Yang Baik : Jepun telah memilih panglima yang baik, khususnya pemilihan Jeneral Tomoyuki Yamashita sebagai Panglima Kor 25 Tentera Darat untuk menyerang Tanah Melayu. Yamashita juga dikenali sebagai 'Harimau Malaya'. Beliau sedar, harga bagi sebuah kegagalan dalam tentera ialah penyingkiran serta-merta. Walaupun berjaya menduduki Singapura, Yamashita dipindahkan ke Manchuria sebagai orang buangan tentera. Dalam tahun 1944, dia dipanggil bertugas semula di Filipina. Keadaan Jepun ketika itu sudah nazak.Yamashita menyerah diri pada 2 September 1945. Beliau didapati bersalah sebagai penjenayah perang dan dihukum bunuh pada 23 Februari 1946. Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Yamashita berdoa semoga dilanjutkan usia Maharaja Jepun. Lt. Kol. Hosaku Shimada adalah pegawai tetap dalam Regimen Kereta Kebal yang mengetuai kemaraan 5 Divisyen yang diketuai oleh Lt. Jen. Matsui ke selatan dan bertempur di Slim River. Hajimo Sudo, pegawai berani mati yang mengetuai pesawat pengebom No.1 Air Fleet menyerang kapal HMS Repulse di Laut China Selatan pada jam 1.48 pm. Jen. Sugita, pegawai yang boleh berbahasa Inggeris dan terlibat dalam perbincangan serah diri pihak British.

Aplikasi Prinsip Peperangan : Tiga perkara yang ketara di sini ialah aspek pemeliharaan moral; kekuatan udara dan pemeliharaan momentum. Moral atau semangat tentera Jepun amat tinggi mereka telah diendoktrinkan bahawa kemaraan mereka adalah untuk survival ekonomi mereka dan membebaskan Asia dari kekejaman barat. Kebanyakan tentera Jepun berbekalkan semangat Bushido - rela berkorban nyawa untuk negara. Kehebatan Jepun juga disebabkan kekuatan kuasa udaranya yang dapat memberi perlindungan kepada kemaraan tentera daratnya. Dari segi pemeliharaan momentum pula, Jepun mencipta beberapa keganjilan (uniqueness). Antaranya ialah pasukan Jurutera bergerak dihadapan, diikuti oleh kereta kebal sebagai pelindung dan kemudiannya diikuti oleh barisan infantri. Keduanya ; tentera Jepun menggunakan motosikal dan basikal bagi memastikan kelajuan kemaraannya - mereka hanya mengambil masa dua hari dari Singgora -Patani ke Jitra.

Perisikan Yang Baik : Kelebihan Jepun ialah pihaknya mengetahui apa yang dilakukan oleh pihak British. Sebaliknya British tidak dapat menduga aktiviti dan manouvres pihak Jepun. Di samping memiliki risik gempur (combat intelligence), peniaga Jepun yang ada di Tanah Melayu telah membuat hubungan dengan elemen subversip tempatan. Peniaga Jepun inilah yang sebenarnya mengiringi tentera Jepun yang mara dan memandu pergerakan tentera Jepun melalui hutan. Lebih penting dari itu, Jepun mengetahui butiran lengkap pergerakan tentera Jepun, pelan atur kem tentera dan juga tempat-tempat penting.


Disentralisasi Perintah : Jepun menyedari kawalan secara pusat tidak praktikal dalam negara yang dilitupi hutan seperti Tanah Melayu. Oleh itu, mereka melaksanakan perintah secara desentralisasi hingga peringkat platun. Taktik penyusupan atau infiltration yang dilaksanakan secara besar-besaran, berjaya dilaksanakan kerana disentralisasi perintah ini.

Penggunaan Kereta Kebal : Jepun mempunyai kereta kebal, misalnya jenis 89 medium tank yang dilengkapkan dengan gun 57 mm sebagai senjata tembakan utama dan dua laras mesin gan. Kereta kebal yang berbagai jenis digunakan sepenuhnya dalam serangan dan pertempuran dengan pihak British.


Kegagalan British

Pembatalan Operasi Matador : Operasi ini dirancang di London bagi tujuan menyekat kemaraan tentera Jepun dengan menggempur selatan Thailand dan menawan Singora. Kekuatan minimum tiga Briged dan dibantu oleh kekuatan enam skuadron Tentera Udara Diraja British diperlukan bagi pertahanan Singora. Pengkalan udara di Kepala Batas, Gong Kedak dan Kota Bharu di Kelantan telah dikenalpasti sebagai pengkalan tambahan yang penting. Operasi Matador yang diletakkan kepada tanggungjawab Jen. Percival selaku Panglima Gerakan Tanah Melayu (Malaya Command) dan juga Marsyal Udara Sir Robert Brooke-Popham sebagai Panglima Tentera Udara Diraja Timur Jauh mulai 16 Mei 1942. Alternatif lain untuk gerakan ketenteraan juga dirancang. Sehingga 5 Disember 1941, operasi Matador diluluskan dengan syarat iaitu mendapat persetujuan pihak berkuasa di London iaitu apabila Jepun didapati telah mara untuk mendarat di Segenting Khra atau menggempur mana-mana kawasan Thailand. Bagaimanapun, pada jam 1330 8 Disember, operasi Matador dibatalkan. Sebaliknya pertahanan British dilaksanakan di Jitra. Dengan pembatalan tersebut, persiapan pertahanan Jitra adalah dalam keadaan tergesa-gesa dan melemahkan semangat trup dan akhirnya menyebabkan British kecundang.

Salah Atur Kedudukan : Pengaturan kedudukan 11 Divisyen amat lemah. Sepatutnya pasukan diatur secara in depth, sebaliknya ia ditabur dalam satu barisan sejauh 7 batu dengan setengah dari sebuah batalion terasing di kawasan pertahanan pantai. Keadaan pertahanan sebegini mengizinkan Jepun membuat 'deep penetration' dan menumpaskan kedudukan pertahanan British. Melibatkan dua batalion untuk tugas pos luar kawasan pertahanan tanpa sokongan pertahanan anti-kereta kebal juga terbukti sebagai satu tindakan menempah maut.

Keserabutan Prinsip Pertahanan : Kegagalan British mempertahankan Jitra juga dapat dilihat dari segi keserabutan mereka mengaplikasi prinsip pertahanan. Tiga prinsip yang jelas ialah pertahanan keliling (all round defence) yang tidak dilaksanakan dalam pertahanan Jitra - wujud jurang atau kekosongan kawasan antara 15 Briged yang menduduki kawasan sebelah kanan jalan Jitra-Changlun dengan 6 Briged di sebelah kirinya. Keduanya ialah perhubungan (communication). Trup bertaburan kedudukannya dan terdapat tanah paya yang luas antara dua Briged tersebut. Kesannya ialah apabila Jepun menyerang salah satu sektor di kanan, pasukan lain dalam divisyen itu tidak dapat membantu segera. Ketiganya, penafian Tanah Kepentingan Taktikal (Ground of Tactical Importance). Kawasan yang dipertahankan oleh 2/9 Jats adalah GTI atau tanah yang penting dari segi taktik. Bagaimanapun GTI ini tidak dikebalkan dari musuh. Oleh itu, Jepun mengambil kesempatan ini untuk menyerbu bagi menyingkirkan British yang akhirnya terpaksa berundur.

Kekurangan Kemudahan Perhubungan : Kelemahan sistem komunikasi antara kedudukan pasukan menyebabkan khabar angin mudah berkembang dan meruntun semangat pasukan pertahanan Jitra. Malah dalam saat kritikal, perintah dan maklumat gagal disampaikan kepada komander pasukan. Telefon medan kerap terganggu dan sering terbukti tidak berkesan. Lebih penting dari itu ialah peta yang digunakan oleh pasukan tentera British adalah terbitan tahun 1915 dan berskala besar, tidak menunjukkan penggunaan tanah, perubahan dan tanda rujukan peta.

Ketiadaan Taktik Cegah Penyusupan (anti-infiltration) : Semua jalanan infiltrasi mestilah dikawal rapi dan dihalang tanpa mengira kedudukan pertahanan dan bahagian hadapan dilindungi. Tetapi kesemua ini tidak dilakukan oleh British. Musuh yang menyerang menggunakan taktik penyusupan untuk melintasi kedudukan pertahanan utama dan menghunjam pertahanan British kemudiannya. Pada 11 Disember 1941, Jepun menyerang pertahanan Jitra setelah menyusup masuk ke kawasan pertahanan itu dan menyebabkan pertahanan British itu terputus hubungan dengan markas mereka.

Pengelompokan Tidak Seimbang : Sesuatu pasukan mesti mempunyai kelompok yang seimbang iaitu trup penggempur (combat arms) dibantu oleh unit bantuan yang sesuai. Sebaliknya pasukan British yang ditugaskan di pos luar mempunyai senjata bantuan penangkis kereta kebal (anti-tank) yang amat kecil bilangannya. Manakala Jepun menyerang dengan penggunaan kereta kebal secara besar-besaran. Keadaan ini menyebabkan British terpaksa berundur secara bertempiaran.

Penyelarasan : Perancangan, koordinasi dan 'timing' adalah penting. Pemusnahan bahan letupan simpanan lebih awal dan secara tidak sengaja melepaskan tembakan terhadap pasukan sahabat terbukti memporak-perandakan pihak British. Ini adalah bukti yang menunjukkan akibat dari ketiadaan koordinasi dan kehadiran sistem komunikasi yang daif.

Pasukan Simpanan : Tenaga dan bekalan simpanan mestilah dipelihara pada semua peringkat semasa operasi pertahanan. Dalam kes Jitra, British mempunyai simpanan tetapi dibazirkan atau digerakkan terlalu awal. Lebih aneh lagi ialah apabila simpanan divisyen digunakan oleh seorang komander yang lebih rendah tanpa pengetahuan Panglima Divisyen. Keadaan ini menyebabkan Panglima tidak lagi memiliki pasukan simpanan untuk mempengaruhi pertempuran itu.

Memperendahkan Kekuatan Musuh : Pihak British memperendahkan kekuatan dan kuasa tentera Jepun. Adalah bijak jika pihak British membuat jangkaan seimbang tentang pihak musuh dari secara melulu tidak mempedulikan kecenderungan kekuatannya. British meletakkan kesombongan budaya dan memperkecilkan masyarakat Asia.

Semangat (morale) Trup : Semangat atau moral dan motivasi trup British adalah rendah. Kebanyakan askarnya adalah dibawa dari India dan kebanyakannya tidak begitu terlatih. Mereka ini mengalami kejutan bukan sahaja keadaan tanah di sini yang amat jauh bezanya dengan benua India, malah mereka juga bertempiaran lari ketakutan apabila diserang oleh kereta kebal Jepun - iaitu satu bentuk kesan persenjataan perang yang belum pernah mereka lihat sebelum itu.

Keterlibatan Penduduk Tempatan : British tidak mahu melibatkan penduduk tempatan dalam mempertahankan tanah airnya. Kepada orang Melayu, British beranggapan Melayu adalah bangsa yang tidak mempunyai daya juang yang tinggi. British juga bimbangkan orang Cina kerana melatih orang Cina bererti mempersenjatakan pihak Komunis. Manakala penduduk yang lain masih lagi berkiblat ke negara asal mereka. Orang keturunan India misalnya terbukti bersemangat waja untuk bumi India apabila ramai di antara mereka menyertai Indian National Army (INA) yang ditubuhkan secara tidak rasmi di Gurun sebaik sahaja Askar India meletakkan senjata dan dirasmikan penubuhannya oleh Jepun di Taiping. INA bertujuan membebaskan bumi India dari British. Penubuhan INA dan memujuk askar India meletakkan jawatan adalah usaha melemahkan pertahanan British oleh perisikan atau kosaku Jepun.

Rumusan

British ternyata tidak mempunyai persediaan rapi untuk mempertahankan Jitra malah Tanah Melayu keseluruhannya. Mereka tidak menduga niat dan keupayaan tentera Jepun. Dengan sikap keberatan politikus membuat keputusan, kedaifan sumber kekuatan udara dan laut serta ketidaksediaan tentera darat; gabungan faktor ini menjadi satu malapetaka kepada Jen. Percival.

Kegagalan untuk melaksanakan Operasi Matador adalah bencana yang dicipta, manakala semangat (morale) yang begitu rendah, trup digerakkan ke kawasan pertahanan yang disiapkan secara tergesa-gesa. Dalam tempoh dua hari, pertahanan Jitra cuba disiapkan dalam cuaca yang buruk.

Tentera Jepun menyerang dan mampu menyingkirkan satu divisyen tentera keluar dari kedudukan pertahanan kurang dari 36 jam. Tindakan tentera Jepun ini adalah dicirikan oleh unsur kelajuan gerakan, tipu-helah, mobiliti, tindakan mengejut, kebolehubahan pergerakan, keadaan fizikal dan mental, taktik serangan yang berbagai-bagai seperti serangan kereta kebal, serangan dalam hujan lebat dan serangan regimen dalam kekuatan Briged; dan akhir sekali penggempuran secara menyeberangi sungai. Iltizam Jepun yang tinggi telah berjaya menyebabkan satu dari kekalahan yang paling memalukan dalam sejarah tentera British.

Pertempuran Jitra menjadi signifikan kerana pertahanan Jitra dapat dibolos sedangkan menurut perancangannya perlu dipertahankan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lamanya, tetapi Jepun mengambil masa kurang dari 36 jam sahaja. Oleh kerana Jitra jatuh pada 13 Disember, Jepun mampu tiba ke Johor Bahru pada 31 Januari 1942 dan menguasai Singapura pada 11 Februari 1942. Tarikh ini mungkin berubah jika Jitra dapat dipertahankan lebih lama lagi. Doro Nawa, satu dari unit dalam perisikan Jepun melaporkan kelemahan pertahanan British, iaitu tiada pertahanan di Johor dan dikatakan "the land and air reinforcement in Kedah were real".

Kekuatan udara Jepun adalah satu lagi sumber kekuatan Jepun. Tentera darat Jepun sendiri memiliki 158 pesawat udara berbanding dengan 250 pesawat udara bagi keseluruhan pihak berikat. Jeneral Yamashita merumuskan sebab British kalah dalam Perang di Tanah Melayu; selain dari pihak British tidak cukup pesawat udara, pihak British juga tidak mempunyai kereta kebal; latihannya yang tidak mencukupi; penempatan (disposition) pertahanan yang silap; perisikan yang lemah dan British memandang rendah kekuatan tentera Jepun.

11 Divisyen yang gagal mempertahankan Jitra itu akhirnya berundur ke Singapura terus gagal dalam mempertahankan kawasan pintu masuk utara Singapura pada 8 Februari 1942. Hanya 28 Briged sahaja yang bersama 11 Divisyen. Dua lagi Briged yang diletakkan di bawah 11 Divisyen bagi mempertahankan Singapura ialah 27 Briged Pasukan Infantri Australia dan 33 Briged.

3 Januari 1942

Di Singapura
Kumpulan pertama askar-askar bantuan yang dijanjikan kepada Percival mulai tiba di Singapura, dikumpulkan di sekitar Grup 45 Briged Infantri India. Malangnya, briged ini sebenarnya baru sahaja ditubuhkan dan anggotanya terdiri daripada askar-askar yang baru masuk tentera dan masih belum tamat latihan ketenteraan sepenuhnya.

Di Fort Canning, Percival dan perancang-perancangnya mula mencurigai keupayaan pihak British mempertahankan kedudukan di Kuala Kubu Baru khususnya dengan pengesahan bahawa satu pasukan Jepun telah mendarat di Sungai Bernam dari arah laut.

Penggunaan jalan laut oleh pihak Jepun untuk melangkau barisan pertahanan Tentera British membawa dimensi baru kepada strategi keseluruhan pertahanan Tanah Melayu. Percival membuat keputusan untuk meninggalkan bandar Kuantan. Askar-askar di Kuantan diarahkan berundur ke Maran di cabang jalan ke Jerantut.


Arthur Ernest Percival Semasa Menjadi GOC Malaya Command
Di Maran

Pasukan Jepun melancarkan serangan hebat ke atas pasukan barisan belakang (rearguard) yang melindungi pengunduran. Tentera Jepun berjaya membuat serang hendap ke atas Batalion 2/12 Rejimen Frontier Force; hanya 40 orang sahaja terselamat dari pasukan tersebut.

Pegawai pemerintah batalion tersebut Lt. Kol. A. B. Cumming dianugerahkan pingat Victoria Cross kerana keberanian yang ditunjukkan semasa pertempuran.

Di Labuan

Tentera Jepun tiba di Labuan pada 1 Januari 1942, tidak sampai sebulan selepas memasuki Malaya di Kota Bharu. Mereka mengambil alih kuasa ke atas pulau ini secara rasmi pada 3 Januari 1942 tanpa sebarang tentangan.

WWII - Penaklukan Jepun di Tanah Melayu

Meriam 2 Pounder digunakan untuk memusnahkan kereta kebal Jepun

Kampar 'Tentera Jepun menggunakan askar-askar yang cukup berehat untuk melancarkan serangan baru ke arah perimeter pertahanan yang dikawal oleh Batalion British pada jam 7.00 p.m. Pertempuran sengit meletus dan berterusan, kadangkala menjadi cukup celaru. Tentera Jepun mempunyai kelebihan serangan bantuan rapat daripada pesawat-pesawat udara. Mereka juga mempunyai bantuan kereta kebal untuk menguatkan serangan mereka. Sekali lagi, bentuk rupa bumi dan juga penggunaan bedilan artileri yang tepat membolehkan pasukan British mempertahankan kedudukan mereka. Askar Jepun diserang dengan tembakan artileri semasa mereka berada di tanah lapang dan menyebabkan banyak korban. Pasukan Argyll juga dapat mematahkan serangan demi serangan dari askar-askar Jepun. Menjelang malam, pertahanan Kampar masih dalam kawalan Tentera British. 2 Januari 1942 Hari keempat pertempuran melihatkan percubaan kegila-gilaan oleh Tentera Jepun untuk menawan kedudukan-kedudukan yang dipertahankan oleh Batalion British, tetapi percubaan ini sia-sia. Sebuah Kompeni askar Sikh batalion 1/18 Rejimen Punjab menangkis serangan hebat askar-askar Jepun dengan cara membuat serbuan bayonet dengan bantuan dari tembakan meriam mortar dan tembakan mesingan . Hanya 30 orang anggota Kompeni askar Sikh itu terselamat tetapi kedudukan itu dapat dipertahankan. Tetapi maklumat yang diterima oleh pemerintah pasukan British daripada Changkat Jong memberitahu bahawa Jepun sedang mengancam laluan utama pembekalan (Main Supply Route) dari arah selatan diancam oleh Tentera Jepun. Ini bermakna Tentera British perlu meninggalkan Kampar dan meninggalkan perkubuan-perkubuan yang telah menahan kemaraan Tentera Jepun selama 4 hari yang lepas. Menjelang tengah malam, pasukan British mula berundur ke kedudukan di belah selatan. Pasukan artileri British membuat bedilan hebat untuk menyembunyikan pengunduran askar-askar British. Bedilan meriam ini disalah sangka oleh panglima-panglima Jepun yang menyangkakan bedilan meriam itu adalah selingan dan persiapan untuk suatu serangan balas oleh Tentera British. Selepas beberapa hari bertempur secara berterusan, Panglima Tentera Jepun buat pertama kali mempertimbangkan sama ada perlu untuk mereka berundur ataupun tidak memandangkan bilangan korban yang tinggi dialami oleh unit-unit tempur mereka. Kelegaan terasa apabila mereka mendapati bedilan itu sebenarnya helah British untuk mengaburi mata pihak Jepun mengenai pengunduran oleh Tentera British mulai tengah malam. Singapura Jen. Percival pulang ke Singapura dan disambut dengan berita bahawa Jepun telah membuat serangan dari arah laut di Kuala Selangor, 45 di selatan Sungai Bernam dengan menggunakan baj pendaratan (kebanyakan baj ini ditawan oleh pihak Jepun semasa menawan Pulau Pinang). Kuala Selangor hanyalah 60 batu jauhnya dari Kuala Lumpur, ibu negara Semenanjung Tanah Melayu dan Markas Gerakan III Kor India Ipoh Jen. Yamashita memindahkan markas medannya dari Taiping ke Ipoh .

WWII-Pendaratan Jepun di Kota Bharu

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Sejurus selepas tengah malam, tentera Jepun bergerak ke arah pantai yang dipertahankan oleh pasukan India British yang mengawal pantai. Pasukan meriam British mula membedil sepanjang kawasan persisiran pantai dan laut sewaktu telah jelas bahawa tentera Jepun sudah memulakan pendaratan mereka. Tembakan suar menerangkan kawasan pendaratan Jepun dan unit Dogra mula menembak ke arah pesawat pendarat sebaik sahaja pesawat itu diterangi suar. Usaha pertahanan dilakukan bersungguh-sungguh oleh unit Dogras tetapi mereka menghadapi tentangan yang sengit.

Kubu mesingan (MG) di pantai digunakan dengan berkesan terhadap tentera Jepun yang mula mendarat dipantai dan membunuh banyak askar Jepunm termasuk komander batalionnya, Mejar Nakamura, yang mengetuai orang-orangnya menyerbu kedudukan musuh. Kolonel Masanobu Tsuji menulis dalam bukunya mengenai Kempen Tanah Melayu: "Kubu-kubu kecil musuh yang disediakan dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka". Tidak sehingga tentera Jepun memusatkan serangan mereka terhadap dua buah kubu kecil dan parit pertahanan sokongan yang menguasai kawasan pendaratan, barulah mereka menguasai tempat mendarat.

Dalam pertempuran secara berhadapan, tentera Jepun berjaya menumpaskan tentera India British yang bertahan kawasan penting ini. Semasa pertempuran ini berlaku, gelombang penyerang kedua tersangkut di pantai terbuka dihujani tembakan meriam British yang mengakibatkan jumlah korban yang teruk. Bagaimanapun, sebaik sahaja kubu kecil telah dimusnahkan, pasukan ini mampu bergerak ke hadapan dan mebolosi kedudukan Dogra. Walaupun membuat serangan balas, kedudukan supai India tidak dapat dipertahankan lagi dan pasukan pertahanan mula berundur.
Pihak Inggeris menyerah kalah kepada pihak Jepun

9 Disember 1941

Serangan udara RAF


Setelah diberitahu mengenai kehadiran pasukan penjajah beberapa batu di utara landasan pesawat mereka, pegawai kanan tentera udara di Kota Bharu meminta kebenaran untuk melancarkan serangan. Apabila telah jelas bahawa tentera Jepun mula mendarat, Skuadron Hudsons No. 1 mula berlepas untuk mengebom pesawat pengangkut. Gelombang pertama, yang terdiri daripada tujuh buah pesawat dan diketuai oleh Leftenan Penerbangan Lockwood, melakukan serangan pertama sekitar 02.10 pagi.

Leftenan Penerbangan O.N. Diamond Skuadron No. 1 memilih kapal pengangkut terbesar dan mengebom junam. Menurutnya, dua butir bom 250 paun dilepaskan dalam serangan pertamanya tepat kena, dan dalam serangan kedua, baki dua butir bomnya turut mengenai pesawat tersebut sebelum pesawatnya terkena tembakan dan terbakar. Kapal itu ialah kapal pengangkut IJN Awajisan Maru (9,794 tan) yang merupakan kapal Jepun yang pertama bagi semua saiz yang ditenggelamkan dalam Perang Dunia II. Skuadron No. 1 RAAF terus melakukan pengeboman. Sejumlah 17 serangan dilancarkan, mendarat, mengisi bom dan berlepas kembali sehingga 05.00 pagi. Kapal pengiring tentera Jepun melepaskan tembakan anti pesawat yang sengit, menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat Lockheed Hudson itu dan merosakkan tiga yang lain.

Salah sebuah pesawat yang rosak yang dipandu oleh Leftenan Penerbangan Leighton-Jones dilaporkan menjunam tepat ke sebuah pesawat pendarat yang berisi sarat. Walaupun menerima tembakan anti pesawat yang hebat, anggota Hudson melancarkan serangan mereka dengan penuh bersemangat. Kesemua kapal pengangkut dilaporkan dihujani peluru dengan beberapa buah terbakar. Kolonel Masanobu Tsuji, pegawai di bawah Ibu Pejabat Yamashita, menggambarkan laporan yang beliau menerima daripada Kota Bharu: "Tidak lama kemudian, pesawat musuh dalam formasi dua dan tiga mula menyerang kapal pengangkut kita, yang mulai berasap dan terbakar". Menjelang 04.30 pagi komander pengiring, bimbang dengan jumlah kerosakan yang dilakukan oleh RAAF, mengemukakan permohonan untuk berundur.

Tentera Jepun memasuki Petaling Street, Kuala Lumpur pada 12 Januari 1942.

Mejar Jeneral Takumi membantah dan berjaya menegaskan bahawa beliau perlu memperkukuhkan tenteranya di pantai dan hanya pada pukul 06.00 (pagi), kedua-dua kapal pengangkut dan pengiring berundur ke utara. Awagisan Maru ditinggalkan marak terbakar dan ditakdirkan menjadi kapal Jepun pertama ditenggelamkan dalam peperangan, terlalu rosak untuk belayar. Kira-kira jam 02:00 pagi pada 8 Disember, lapangan terbang Kuantan menerima isyarat bahawa tentera Jepun cuba mendarat di Kota Bharu. Skuadron No. 8 membentukkan empat penerbangan tiga buah Hudson dengan penerbangan pertama pada jam 06.30 pagi.

Pesawat Hudson yang dikendalikan oleh Leftenen Penerbangan G. Hitchcock menyerang kapal pengangkut IJN, tetapi dilitupi asap pada 08.00 pagi disebabkan sebahagian daripadanya rosak, ditembusi empat puluh tiga butir peluru tetapi kembali ke Kuantan dengan selamat. Leftenen Penerbangan "Spud" Spurgeon dalam A16-41 mengebom kapal tetapi terpaksa mendarat hempas di Kota Bahru, akibat kerosakan pesawat Hudsonnya. Leftenen Penerbangan Russell Bell pula mengalami kerosakan hidraulik, akibat terkena peluru pada pesawat Hudson A16-81nya dan menerbang ke Seletar daripada Kota Bharu. Daripada 12 buah pesawat dalam serangan ini, lima rosak dengan satu mendarat hempas di Kota Bharu.

Jepun berjaya mendarat

Pada masa ini, pesawat pejuang tentera Jepun yang sebelum ini sibuk melindungi pendaratan utama di Thailand, mulai sampai dan serangan lanjut oleh RAF Blenheims, terbukti sukar. Juga menjelang waktu pagi di sebalik usaha Skuadron No. 1, tentera Jepun berjaya mendaratkan pasukan penjajah mereka. Pada pukul 10:30 pagi, pasukan Jepun akhirnya tiba ke Kota Bahru.

Pesawat A6M Zero tentera laut Jepun dari Flotia Udara ke-22 di Lapangan Terbang Kota Bharu selepas penawanannya.

Setibanya waktu pagi, Mejar Jeneral H. Takumi berjaya mendaratkan sejumlah tiga batalion penuh. Brigadier Key cuba menyerang balas dengan segala kekuatannya tetapi apabila gagal, beliau mulai berundur. Apabila telah menjadi jelas bahawa pada waktu siang lapangan terbang tempatan tidak dapat dipertahankan, Key, yang telah diperintahkan untuk berjuang pertempuran penafian (battle of denial ), bukannya sehingga titisan darah terakhir memohon, dan menerima kebenaran untuk berundur.

Tentera Jepun yang disokong oleh tentera yang baru mendarat, memaksa tentera India British berundur sehingga ke kawasan Kuala Lipis dan maju ke utara untuk menawan bandar Kota Bharu pada jam 2 petang pada 9 Disember.

Kedua pihak mengalami korban yang besar semasa pertempuran. Tidak terdapat rekod korban British, tetapi pastinya besar. Rekod korban Jepun berbeza dengan banyaknya. Louis Allen menyebut sumber Jepun meletakkannya sebagai 500 orang. Daripada ini, 150 dialami oleh tentera masih dalam kapal pengangkut, sedangkan baki 350 semasa perjalanan singkat ke pantai atau semasa di pantai. Sementara itu pula, Kolonel Tsuji menulis dalam bukunya bahawa 320 orang askar Jepun terkorban serta 538 orang tercedera dalam pertempuran itu dan menggelarkan Kota Bharu sebagai "salah satu kawasan pertempuran yang paling ganas dalam Kempen Tanah Melayu".

Sunday, September 11, 2011

Buaya Terbesar Di Tangkap

PAOLO TORCHIO berjaya merakamkan gambar seekor buaya sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop di sebatang sungai di Taman Negara Maasai Mara di Kenya.

TAMAN NEGARA MAASAI MARA, Kenya - Seekor buaya gergasi sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop seberat 136 kilogram di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Aksi buaya itu membaham haiwan tersebut sempat dirakamkan oleh jurugambar terkenal, Paolo Torchio dari Itali di sebatang sungai di sini.

Menurut Torchio, kejadian tersebut menyebabkan seseorang itu berfikir bahawa betapa kecilnya diri kita dalam dunia haiwan.

Sungai itu dipenuhi dengan bangkai haiwan yang mati semasa ia cuba untuk berhijrah dari Tanzania ke Kenya.

Dua minggu lalu, sekumpulan penduduk di bandar Bunawan, Filipina berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 6.1 meter hidup-hidup.

Buaya itu kini ditempatkan di sebuah kurungan dan ia dipercayai buaya paling besar pernah ditangkap hidup-hidup di dunia. - Agensi

In this photo taken on September 4, villagers examine the 21-foot (6.4 m) saltwater crocodile caught in the town of Bunawan, Agusan del Sur province on the southern Philippine island of Mindanao. Animal rights group PETA has urged the Philippines to free what is thought to be the world's largest crocodile in captivity, even though it allegedly killed two people.

An animal rights group urged the Philippines to free what is thought to be the world's largest crocodile in captivity, even though it allegedly killed two people.

The monster 21-foot (6.4-metre) male saltwater crocodile was placed in a penned pond after it was caught in a remote southern creek on September 3, with officials planning to use it as a tourist attraction once it adapts to its cage.

People for the Ethical Treatment of Animals senior Asia-Pacific campaigner Ashley Fruno on Saturday said that despite suspicion it is a man-eater, the reptile was better off being returned to the wild, away from human settlements.

"(The government) should do the compassionate thing and order this crocodile to be returned to his natural habitat, as taking him away to be locked up in an animal prison is just plain wrong," she wrote to AFP.

Penned animals are prone to psychotic behaviour and its immense size and power could prove dangerous to visitors and those caring for it, she warned.

"While even those zoos with the best intentions can never replicate the natural environment of animals, how do they expect to come remotely close with a crocodile roughly two or three times the size of a regular adult?"

The 1,075-kilogramme (2,370-pound) beast is suspected of eating a local man who went missing in July in the southern town of Bunawan, and of killing a 12-year-old girl whose head was bitten off in 2009.

Rollie Sumiller, who led the team that trapped the animal, earlier told AFP removing from the wild a huge reptile suspected of attacking humans was the correct thing to do.

He could not be reached for comment Saturday.

The Philippine specimen is bigger than the previous largest captive saltwater crocodile, which the Guinness World Records website lists as a 5.48-metre (18-foot) male that lives at an Australian nature park.

Press reports say the former had not eaten anything for a week.

In the wild the species is known to survive without food for months after a meal.

Kapal British Kena Serang Oleh Jepun Di Malaya

Pesawat pengebom Mitsubishi G4M Betty

Pesawat Pengebom Mitsubishi G3M Nell

Foto dari pesawat Jepun HMS Repulse dibom

HMS Repulse dan HMS Princes Of Wales terbakar


Anak-anak kapal Prince Of Wales diselamatkan oleh HMS Express pada 10 Dec 1941

Kapal HMS Prince of Wales dan HMS REpulse telah diserang dengan 3 pasukan pengebom angkatan udara Imperial Japanese Navy yang berpengkalan di Saigon, Vietnam.

1) Genzan Air Corp Attack Group (terdiri dari 3 skuadron)
Diketuai oleh Leftenan Komander Nakanishi
Jenis pesawat Mitsubishi Type 96 G3M2 (Nell)
Skuadron 1 diketuai Leftenan Ishihara
Jumlah pesawat 9, jenis bom torpedo
Skuadron 2 diketuai Leftenan Takai
Jumlah pesawat 8, jenis bom torpedo
Skuadron 3 diketuai Leftenan Nikaido
Jumlah pesawat 8, jenis bom bom biasa

2) Kanoya Air Corp Attack Group (terdiri dari 3 skuadron)
Diketuai oleh Leftenan Komander Miyauchi
Jenis pesawat Mitsubishi Navy Type 1 G4M1 (Betty)
Skuadron 1 diketuai Leftenan Nabeta
Jumlah pesawat 9, jenis bom torpedo
Skuadron 2 diketuai Leftenan Higashimori
Jumlah pesawat 8, jenis bom torpedo
Skuadron 3 diketuai Leftenan Iki
Jumlah pesawat 9, jenis bom torpedo

3) Mihoro Air Corp Attack Group (terdiri dari 4 skuadron)
Ketua tidak diketahui
Jenis pesawat Mitsubishi Type 96 G3M2 (Nell)
Skuadron 1 diketuai Leftenan Shirai
Jumlah pesawat 8, jenis bom bom biasa
Skuadron 2 diketuai Leftenan Takeda
Jumlah pesawat 8, jenis bom bom biasa
Skuadron 3 diketuai Leftenan Ohira
Jumlah pesawat 9, jenis bom bom biasa
Skuadron 4 diketuai Leftenan Takahashi
Jumlah pesawat 9, jenis bom torpedo

Kesemua pesawat berlepas 6.25 pagi waktu Saigon dan berjaya mengesan Force Z 10.15 pagi. Yang mengesan adalah pesawat peronda jadi pertempuran belum bermula.

Hanya pada pukul 11.00 pagi Force Z dapat mengesan skuadron pertama yang terbang tinggi serta membelakangi matahari. Skuadron ini diketuai oleh Leftenan Shirai yang membawa 2 buah bom 250kg setiap pesawat.

Shirai menyerang HMS Repulse dahulu. Hanya sebuah bom digugurkan dari setiap pesawat. Kerosakan HMS Repulse tidak serius kerana hanya sebutir bom sahaja yang mengenai sasaran.

10 minit kemudian radar HMS Prince of Wales mengesan jumlah musuh yang lebih besar mara dari arah tenggara. Kali ini pesawat Jepun bersenjatakan torpedo dari Genzan Air Corp. Torpedo digugurkan pada kelajuan 150 knot dan dari jarak antara 600 ke 1500 meter dan disasarkan ke HMS Prince of Wales.

Kapal british itu berjaya ditembak dengan torpedo mengenai salah sebuah dari 4 kipas kapal,bahagian yang paling lemah dan sukar ditembak. Nasib amat menyebelahi Jepun. Kelajuan kapal menurun dari 25knot ke 15 knot menyebabkan HMS Prince of Wales semakin goyah. Ia tidak boleh dikemudikan dan condong ke kiri.

Force Z hanya menunggu masa untuk dihancurkan. Pukul 12.20 tengah hari kelihatan angkatan udara Jepun mara dari arah timur iaitu kesemua pesawat Kanoya Air Corp. Setelah hampir pasukan ini berpecah dua dan menukar-nukar arah untuk mengelirukan Force Z. Yang pasti kedua buah kapal British adalah sasarannya.

HMS Repulse membuat evasive action untuk mengelak dari terkena torpedo Jepun manakala Prince of Wales tidak berupaya untuk mengelak.

Kesemua pesawat Jepun berpura-pura mahu menyerang Prince of Wales kemudian sebahagiannya menukar sasaran kearah Repulse.

2 torpedo mengenai Prince of Wales. Yang menariknya tembakan tersebut telah membuatnya stabil kembali,tidak lagi condong walaupun 18,000 tan air laut membanjiri isi perutnya.

Repulse pula kini diburu oleh 8 buah pesawat Jepun bersenjatakan torpedo. Ia berjaya mengelak 8 buah torpedo dari arah kanan sebelum terkena sebutir torpedo dari arah kiri, 2 lagi tersasar. Kerosakan juga tidak begitu teruk tetapi skuadron ke 3 Kanoya Air Corp masih belum menyerang dan kini telah bersedia. Leftenan Iki beserta dua lagi berjaya menembak 3 torpedo di bahagian kiri Repulse. Nasib malang terus menghantui Repulse bila 2 torpedo yang dilancarkan dari jauh oleh baki skuadron ke 3 mengenai bilik enjinnya.

MS Repulse hampir tenggelam,diiringi oleh 2 kapal destroyer yang bersedia membantu menyelamatkan anak-anak kapal.

12.35 tengahari HMS Repulse terbalik lalu tenggelam.

Jepun kini menumpukan perhatian ke Prince of Wales. 12.40 tengahari anak-anak kapal mengesan 8 buah pesawat pengebom terbang tinggi. Ianya skuadron ke2 dari Mihoro Air Corp yang diketuai oleh Leftenan Takeda.

Skuadron Leftenan Takeda mengugurkan 7 buah bom biasa dan sebutir bom 500kg menembusi dek HMS Prince of Wales,di bahagian pelancar pesawat laut. Di bawahnya pula adalah bilik enjin. Kemusnahan ini memutuskan langsung bekalan kuasa kapal.

13.15 petang Prince of Wales condong semula ke kiri dan tenggelam 8 minit selepas itu. Peristiwa itu disaksikan oleh juruterbang skuadron 453 RAF dari Singapura yang tiba terlalu lewat untuk membantu.

Laksamana Tom Phillips pemerintah Force Z dan Kapten Leach HMS Prince of Wales mati bersama kapal mereka manakala Kapten Tennant Repulse terselamat.

Kemasukkan Jepun Dari Siam - WWII

Pihak Jepun telah mengugut kerajaan Thai bagi membenarkan mereka menggunakan pengkalan tentera Thai bagi melancarkan serangan ke Tanah Melayu, selepas bertempur dengan tentera Thai selama lapan jam dalam Pertempuran Prachuab Khirikhan pada awal pagi. Thailand kemudiannya akan terlibat dalam perikatan tentera rasmi dengan Jepun untuk terus menyerang Tanah Melayu. Bagi pasukan yang mempertahankan koloni, terdiri daripada tentera British, Australia dan India.

Ketumbukan ke 5 tentera Jepun yang dipimpin oleh Lt. Jeneral Takaro Matsui telah ditugaskan menyerang Kedah mula mendarat di Singgora pada 8 Disember 1941. Pada awal pagi 10 Disember 1941, pasukan tentera Jepun di bawah perintah Kolonel Saeiki mula menyerang sempadan Bukit Kayu Hitam tetapi serangan tersebut dapat ditangkis tentera British. Namun serangan balas pada pagi tersebut juga memaksa tentera British berundur ke Asun. Tentera British yang mempertahankan Asun kemudiannya diasak dan memaksa mereka berundur ke Jitra. Dalam masa yang sama, tentera British yang mempertahankan Perlis terpaksa berundur ke Jitra. Semasa pengunduran, tentera British meletupkan beberapa jambatan kecil di sepanjang jalan antara Kodiang dengan Jitra. Ini menyebabkan banyak senjata berat tidak dapat di bawa ke Jitra.

Sementara itu, di sebelah pantai timur, Kota Bharu, tentera Jepun yang mendarat, pada awalnya ditentang oleh Kor ke III India dari Tentera India dan beberapa batalion tentera British. Tentera Jepun dengan pantas mengasingkan unit India yang mempertahanan pantai, sebelum menumpukan tentera mereka bagi mengepong dan memaksa pasukan bertahan agar menyerah. Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke selatan menuju kearah Sungai Perak.

Pasukan Jepun mempunyai sedikit kelebihan dari segi jumlah tentera di utara Tanah Melayu, dan kelebihan yang banyak dalam sokongan udara dekat, kereta kebal, kordinasi, taktik dan pengalaman oleh unit Jepun yang pernah bertempur dalam China. Sementara, pihak Jepun mempunyai jumlah kapal terbang yang kurang sedikit, kapal terbang pejuang mereka pada kebiasaannya lebih baik dan mencapai kelebihan udara. Pihak Berikat tidak mempunyai kereta kebal, yang meletakkan mereka dalam keadaan kurang baik. Pihak Jepun juga menggunakan infantari berbasikal dan kereta kebal ringan, yang membenarkan pergerakan pantas pasukan mereka melalui darat dan melalui muka bumi yang diselitupi hutan hujan tropika yang tebal.

Pihak British telah mempunyai rancangan bagi melewatkan pendaratan Jepun di Selatan Thailand tetapi Ketua Marshal Udara Sir Robert Brooke-Popham, Panglima Tertinggi (Commander-in-Chief) bagi Markas Gerakan Timur Jauh British menolak memberikan kebenaran bagi melancarkan Operasi Matador dan Operasi Krohcol sebelum serangan Jepun, bagi mengelakkan risiko membangkitkan perang yang akan meletus.

HMS Prince Of Wales

HMS Repulse

Force Z tentera laut, terdiri daripada kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse, bersama dengan empat pembinasa, dan diperintah oleh Laksamana Tom Phillips telah tiba sejurus sebelum permusuhan meletus. Bagaimanapun, kelebihan tentera udara Jepun mendorong kepada Penenggelaman HMS Prince of Wales dan HMS Repulse pada 10 Disember 1941, menjadikan persisiran pantai barat Tanah Melayu terdedah dan membenarkan tentera Jepun untuk meneruskan pendaratan mereka.

Perang Muar - WWII

Perang Muar

Perang ni merupakan perang terakhir yg besar di Tanah Melayu yg berlaku pada 14 hingga 22 Januari 1942 di sekitar Jambatan Gemensah dan Sg Muar.

Selepas kekalahan British ditangan Jepun di Slim River, komander British telah mengarahkan tenteranya berundur 150 batu ke selatan ke negeri Johor untuk mencari perlindungan dan kekuatan semula.

Sementara itu 8th Division Australia cuba untuk menghentikan kemaraan tentera Jepun.

Tentera-tentera bersekutu ni, mengalami tentangan sengit daripada askar Jepun dalam serang hendap di Jambatan Gemensah dan satu lagi pertempuran dekat pekan Gemas.

Kira-kira 700 orang askar-askar 8th Division Australia telah terbunuh dlm ambush ini ditangan tentera Jepun Imperial Guards division.

Manakala pasukan anti-tank Australia dpt memusnahkan beberapa perisai tentera Jepun dlm pertempuran di Gemas.

Walaupun serang hendap ini berjaya untuk Allies pertahanan Maur dan Bakri, namun Allies gagal bertahan sepenuhnya dan ini merupakan pertempuran pertama tentera Australia dan Jepun di Tanah Melayu.