Sunday, August 4, 2019

Al-Fatihah Bekas Guru SKBT 70an

Harian Metro 5/8/2019

Zaid Salim

“AYAH berhajat sangat nak mati (meninggal dunia) di Makkah dan tahun ini Allah makbulkan hajatnya,” kata Ahmad Nasir Hamzah, 56.
Dia anak kepada Hamzah Mohamad, 80, jemaah haji yang meninggal dunia dalam kapal terbang ketika penerbangan menunaikan ibadah itu, Khamis lalu.
Ahmad Nasir berkata, bapanya tidak membawa persiapan lain selain sehelai baju Melayu dan pakaian ihram serta pelbagai buku agama termasuk yang berkaitan dengan ibadah haji.
“Seolah-olah tahu yang dia akan meninggal dunia di sana,” katanya.
Menurutnya, arwah bapa yang juga pesara guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, di Seberang Takir, Kuala Nerus itu sering menyatakan tidak akan balik lagi ke kampung setiap kali menunaikan haji.
“Arwah ke Makkah dengan ditemani adik ipar, Fidae Abdul Rahim, 31, dan seminggu sebelum penerbangan, arwah ke rumah adik ipar di Ukay Perdana, Kuala Lumpur.
“Pada malam arwah hendak ke Kuala Lumpur, arwah ada bagi tahu yang dia tidak akan balik lagi ke kampung.
“Arwah sudah banyak kali mengerjakan haji sepanjang 1980-an dan sering kali mengerjakan umrah.
“Setiap tahun arwah mengucapkan kata-kata sama menyebabkan kami sudah lali tetapi tidak sangka tahun ini kata-kata arwah itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Samudera, Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.
Allahyarham Hamzah juga dikenali sebagai Yahya dari Perumahan Rumah Murah, Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir, dilaporkan meninggal dunia di tempat duduk dalam penerbangan MH8170 akibat sesak nafas pada jam 1.50 tengah hari waktu Jeddah (jam 7.30 malam waktu tempatan) kira-kira satu jam untuk tiba di Jeddah.
Ahmad Nasir berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana Allah SWT memakbulkan hajatnya untuk meninggal dunia di tanah suci dan reda dengan pemergiannya.
Katanya, sebagai anak, dia dan empat lagi adik-beradiknya tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan terkejut dengan pemergian warga emas itu.
“Memang kami terkejut dan bagaikan tidak percaya bila adik ipar telefon memberitahu ayah sudah tiada. Malam sebelum ke KLIA, adik menghantar rakaman video dia mengurut ayah yang mendakwa lenguh urat.
“Ketika itu, keadaannya sihat dan kami sempat berbual mesra serta menasihatkan dia supaya banyak rehat selain adik turut membelikan kerusi roda untuk digunakan ayah ketika berada di Makkah.
“Jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Althinyan, Jeddah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Makbarah Alsalihiyyah, Jeddah jam 6 pagi waktu Jeddah (12 tengah hari waktu Malaysia),” katanya.
Ahmad Nasir berkata, beberapa minggu sebelum ke Makkah, arwah bapanya yang hidup sendirian selepas kematian ibu sudah menunjukkan perubahan apabila dia banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarganya di Kampung Bukit Tok Beng.
“Kebiasaannya arwah tidak lekat di rumah dan banyak masanya dihabiskan di luar rumah dengan berjumpa kenalan dan minum di kedai kopi tetapi sejak akhir-akhir ini dia banyak menghabiskan masa di rumah sehinggakan ada rakan-rakannya yang perasan dengan perubahan sikapnya,” katanya yang bercadang mahu menziarahi kubur arwah bapanya dalam masa terdekat bersama ahli keluarga yang lain.